Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam 1 Malaysia, Salam Perak Amanjaya
Saudara dan saudari sekalian,
1. Salam Ramadhan saya hulurkan kepada semua umat Islam dan semoga Allah mempermudahkan serta menyempurnakan Ramadhan tahun ini tanpa sebarang halangan. Sesungguhnya, Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa kerana ia adalah satu-satunya bulan yang disebutkan namanya secara khusus di dalam al-Quran.
Menambahkan lagi kemuliaannya, Allah SWT telah mengikat bulan ini dengan Rukun Islam yang ketiga, yakni ibadah puasa. Ramadhan benar-benar salah satu daripada syiar-syiar agung agama Islam. Sambutan dan penghormatan kita kepada Ramadhan adalah tanda ketakwaan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 32 yang bermaksud :-
“Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.”
2. Justeru, kehadiran Ramadhan al-Mubarak ini, merupakan satu rahmat besar yang telah disediakan oleh Allah SWT sebagai satu medan untuk kita semua membina kualiti keimanan dan ketakwaan. Sememangnya, Ramadhan akan kita hiasi siang dan malamnya dengan segala rupa bentuk ibadah dan amalan soleh seperti berpuasa, bertarawih, bertadarus dan mentilawahkan al-Quran, berzikir dan bermunajat. Sudah tentu, antara hikmah segala ibadah ini ialah untuk membangunkan segala sifat dan kualiti terpuji di dalam diri kita.
3. Hakikatnya, bulan ini menggalakkan kita untuk saling bersedekah dan berkongsi juadah. Bulan di mana kita menzahirkan keprihatinan kita kepada jiran dan handai taulan kita tanpa mengira batas kaum dan agama. Inilah masanya juga kita sama-sama berdiri di dalam satu saf untuk solat berjemaah dan bertarawih. Bulan ini juga menganjurkan kita mengukuhkan tali persaudaraan dan perpaduan sesama kita. Pendek kata, suntikan perasaan kerahmatan ini amat sesuai untuk membugarkan Gagasan 1Malaysia. Malah ianya membentuk konsep ‘Penerimaan’ sepenuhnya di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
4. Saya ingin mengingatkan agar kita tidak melakukan pembaziran dan berbelanjalah secara berhemah pada bulan ini, sesuai dengan semangat yang dianjurkan oleh Ramadhan, bersamalah kita melaksanakan transformasi minda dan jiwa agar Ramadhan kali ini bukanlah Ramadhan yang sekadar rutinan semata-mata. Bahkan inilah Ramadhan yang akan meningkatkan dan mengubah kehidupan kita selepas ini dengan menjadi hambaNya yang lebih hebat takwanya berbanding sebelumnya.
6. Dengan ini, saya dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam di negara ini disamping mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi. Marilah kita bersama-sama mengimarahkan Ramadhan ini dengan segala amal kebajikan dan ibadah. Semoga Allah SWT melimpahkan kepada kita dengan seribu rahmatNya. Amin Ya Rabbal-‘Alamin.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Thursday, August 4, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment